fbpx

GML bekal 76 bas dua tingkat kepada Dubai RTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Gemilang, Pang Chong Yong (kiri, depan) bersalaman dengan Pengarah Urusan Serantau Famco, Ramez Hamdan selepas majlis pemeteraian perjanjian yang disaksikan oleh Anthony Loke (tengah) baru-baru ini.

PETALING JAYA – Gemilang International Limited (GML) pengeluar bas dan badan bas, telah memeterai perjanjian dengan Al-Futtaim Auto & Machinery Company (Famco), peneraju mobiliti terkemuka di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perjanjian kontrak itu adalah untuk membekalkan 76 bas dua tingkat Volvo kepada Dubai Roads and Transport Authority (Dubai RTA) di UAE.

Pengarah Eksekutif GML, Pang Jun Jie berkata, kejayaan memperoleh kontrak itu menunjukkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan berkualiti tinggi dan inovatif serta kepercayaan yang telah dibina bersama Famco dan rakan kongsi antarabangsa.

“Sebagai sebuah syarikat yang berbangga dengan identiti Malaysia, kami berbesar hati untuk menyumbang kepada pembangunan sistem pengangkutan awam Dubai.

“Projek ini juga mencerminkan usaha kami untuk memper­luaskan jejak global Gemilang, dengan tumpuan terhadap peralihan kepada tenaga lestari dan kenderaan elektrik (EV).

“Dengan keupayaan unik dan rekod prestasi yang telah di bina, kami kini berada pada posisi yang baik untuk mendapatkan lebih banyak projek antarabangsa pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Majlis menandatangani kontrak di Johor Bahru baru-baru ini telah disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Jun Jie menerangkan, kontrak tersebut adalah pencapaian penting dalam kerjasama antara GML dan Famco iaitu pembekal utama trak, bas dan peralatan pembinaan di UAE dan Timur Tengah.

Di UAE, Famco adalah pengedar tunggal trak, bas, peralatan pembinaan Volvo dan pengedar eksklusif bagi penge­luar kende­raan industri serta mesin seperti Yanmar, Doosan, Himoinsa dan Linde.

Projek RTA Dubai ini akan menampilkan bas dua tingkat yang dibina di atas casis Volvo, dilengkapi dengan struktur aluminium inovatif dari GML yang menggunakan Teknologi Badan Bas Aluminium Alloy dan Sistem Bolt dari Constellium.

Direka oleh jurutera Swiss, teknologi ini terkenal dengan ketahanan dan prestasinya di Eropah selama lebih 50 tahun.

Selain bas dua tingkat, GML juga akan membekalkan bas elektrik Volvo BZL kepada Famco, sekali gus menunjukkan komitmen GML terhadap pengangkutan lestari.

Penghantaran bas ini akan menjadi sumbangan signifikan kepada landskap pengangkutan awam Dubai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI