SHAH ALAM – Bercucuran air mata, pelakon sensasi Fazura mendedahkan bahawa punca perceraiannya adalah disebabkan oleh kecurangan Fattah Amin.
Malah, Fazura atau nama lengkapnya Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, turut memaklumkan bahawa tiada persefahaman selain aktor itu tidak memberikan nafkah kepada dia dan anaknya, Nur Fatima Aisya.
“Bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara. Saya reda dengan perceraian ini dah dua tahun saya hidup dalam keadaan tersebut (sengsara).
“Dia telah abaikan nafkah saya dan Fatima. Kami juga tiada persefahaman dan sudah lama saya tidak bahagia.
“Dia juga berlaku curang terhadap saya dan itu yang paling saya tidak boleh terima. Saya ada bukti dia curang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun, pelakon filem Gol Dan Gincu itu turut memaklumkan bahawa emosi dan mentalnya terkesan sepanjang menghadapi kemelut rumah tangga bersama pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin, 33,.
“Namun, sebelum ini saya ambil pendekatan untuk kunci mulut kerana memikirkan tentang anak.
“Emosi dan mental saya sangat terganggu, saya tertekan.
“Saya sudah lama bertahan dalam situasi ini (tidak bahagia),” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Fazura mengakui banyak pengorbanan diambil termasuk membelikan sebuah kereta berjenama mewah.
“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah, saya sediakan tempat tinggal, makan minum, hadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaan dia.
“Kenderaan itu dia bawa naik wanita yang haram baginya,” jelasnya lagi.
Pun begitu, Fazura menafikan tuduhan tidak sekufu yang menyebabkan mereka bercerai.
“Jadi dakwaan kata saya tidak sekufu dengan Fattah adalah tidak benar sama sekali.
“Kalau kami tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya.
“Namun, pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa. Kesal kerana telah berkorban banyak,” ujarnya.
Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun. – KOSMO! ONLINE