fbpx

Dua kali ditahan seludup diesel dalam tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saharuddin (dua dari kiri) memeriksa salah sebuah kapal tunda yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan diesel di Jeti Sungai Kuang, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Bagaikan tidak serik, sekumpulan lelaki disyaki penyeludup yang pernah ditahan kerana menyeludup minyak diesel pada tiga bulan lalu sekali lagi diberkas penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Sungai Kuang di sini hari ini.

Tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an ditahan sewaktu sedang memindahkan minyak diesel itu ke dalam lori pada pukul 5 pagi.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah risikan dilakukan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, operasi tersebut berjaya merampas 28,000 liter minyak diesel, dua kapal tunda dan dua lori tangki bernilai keseluruhan RM1.7 juta.

“Sewaktu serbuan dilakukan, semua suspek sedang memindahkan kira-kira 10,000 liter minyak diesel ke dalam dua lori tangki berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati salah sebuah kapal tunda digunakan pernah ditahan dalam kegiatan menyeludup diesel di lokasi sama pada awal Julai lalu,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan memgambil bekalan diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda sebelum dipindahkan ke dalam lori di kawasan jeti tersebut.

Tambah beliau, bekalan diesel seludup itu kemudiannya dijual semula di pasaran gelap.

“Dua daripada tujuh suspek yang ditahan hari ini pernah ditangkap kerana disyaki melakukan aktiviti seludup diesel di kawasan jeti sama. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI