fbpx

‘Bayar RM40,000, atau kena renjatan elektrik, diseksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin menunjukkan laporan polis yang telah dibuat oleh kedua-dua ibu bapa mangsa ketika sidang media di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Pulau Pinang diugut akan dijadikan sebagai hamba, dipukul, dikurung dalam bilik gelap atau dikenakan renjatan elektrik jika ibu bapanya tidak membayar wang tebusan RM40,000.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang dipercayai diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar turut diugut akan dijual ke kompaun yang lebih kejam.

Katanya, pada Julai 2023, mangsa bekerja kilang di Johor sebagai penyambut tetamu sebelum dilaporkan hilang dua minggu selepas itu dipercayai melarikan diri dari asrama tempatnya bekerja.

Anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian menghubungi ibu bapanya dan memaklumkan dia berada di Thailand sebelum panggilan seterusnya dibuat di Myanmar.

“Selepas tamat sekolah di Pulau Pinang, mangsa beritahu mahu bekerja di Singapura namun bapanya tidak yakin dan tidak mahu mengambil risiko buat pasport, jadi dia benarkan kerja di Johor.

“Dia dibawa masuk ke Mynmar ketika berusia 17 tahun. Kita mengesyaki dia masuk ke Myanmar menggunakan jalan tikus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, ibu bapa gadis itu tidak membuat laporan polis ketika itu kerana mangsa meyakinkan mereka agar tidak perlu bimbang berikutan kontrak pekerjaan di Myanmar  hanya untuk tempoh setahun dan akan dibenarkan pulang selepas itu.

“Namun keadaan sebaliknya berlaku pada Oktober lalu, ibu bapa mangsa dimaklumkan syarikat itu mungkir janji, tidak melepaskan mangsa malah diminta membayar RM40,000 untuk urusan penghantaran pulang.

“Laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Skudai pada 25 Oktober tahun lalu dan kedua pada 25 September lalu di Balai Polis Nibong Tebal, selepas syarikat itu mungkir janji, ” ujarnya.

Sementara itu, ibu mangsa berkata, kali terakhir anak gadisnya menghubunginya semalam dan merayu supaya bayaran tersebut dibuat segera.

“Anak beritahu dia akan dijual ke tempat lain kalau tak bayar (wang tebusan). Dia cakap sambil menangis, beritahu di sana (keadaan) sangat teruk dan ‘hitam’ selain mahu cepat pulang.

“Saya tidak mampu sebab hanya suri rumah, suami pula pemandu lori. Sebab tu saya minta bantuan MHO atau kedutaan Myanmar dan Malaysia di sana untuk membawa anak saya pulang segera,” rayunya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa supaya keluarga tidak membayar wang tebusan kepada sindiket dan kurangkan berhubung dengan mangsa.

“Jangan buat apa-apa bayaran. Kita nak sindiket tu rasa anak mereka umpama ‘tiada nilai’ kerana jika tidak, mereka akan terus minta wang dan culik orang lain lagi.

“MHO tegas dan tidak menyokong mana-mana pihak yang bayar wang tebusan. Kalau bayar, MHO tidak masuk campur lagi sebab kami ada kaedah untuk selesaikan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI