PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar Kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi Madani.
Perdana Menteri itu berkata, kerangka tersebut melonjakkan pertumbuhan negara sekali gus menjunjung prinsip manusiawi untuk mengangkat darjat rakyat terbanyak.
“Alhamdulillah, hari ini saya telah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua tenaga kerja yang telah bertungkus-lumus untuk merangka Belanjawan 2025.
“Insya-Allah, pada pembentangan Belanjawan 18 Oktober ini, lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat ini dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Belanjawan 2025 bakal diumumkan oleh Perdana Menteri itu di Parlimen pada 18 Oktober, Jumaat minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE.