fbpx

Anna kejar impian jadi penyanyi, Misha Omar jadi idola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNA merupakan pelajar tahun kedua di UKM.

“IMPIAN saya adalah untuk menjadi seorang penyanyi jika ada kesempatan.

“Jika ada rezeki saya ingin menyanyi dengan penyanyi idola saya iaitu Misha Omar.”

Itu kata-kata yang keluar dari mulut Anna Batrisyia Azlan Iskandar, 22, ketika diminta mengulas tentang impiannya.

Gadis yang mesra disapa Anna itu merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (Komunikasi Media) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Untuk makluman, wajah Anna bukanlah asing di UKM kerana dia sering menjadi penyanyi di dalam acara yang diadakan di universiti tersebut.

Menurut Anna, dia mula menyanyi sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Ketika darjah empat, saya telah dipilih untuk menyertai kumpulan nasyid di sekolah.

“Selain itu, saya sering menyertai pertandingan nyanyian ketika bersekolah di Sabah,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Tambahnya, ketika zaman prasekolah, dia telah dibawa ke stesen radio untuk menyanyi bagi satu segmen yang melibatkan kanak-kanak.

“Saya memang aktif dengan acara nyanyian sehingga mendapat undangan untuk menyanyi di Korea Selatan ketika kanak-kanak,” ujarnya.

ANNA (dua dari kiri) sewaktu menjayakan persembahan nyanyian di UKM.

Anna memaklumkan, apabila masuk ke alam kampus, dia sebolehnya ingin mengurangkan aktiviti nyanyian.

Namun, setelah masuk ke UKM, dia dijemput menyertai pusat kebudayaan di universiti tersebut.

“Pada malam akhir orientasi, saya ada melakukan persembahan nyanyian.

“Pada ketika itu, penasihat Kelab Pusat Kebudayaan UKM melihat saya melakukan persembahan.

“Dia kemudian menjemput saya untuk menyertai kelab tersebut,” jelasnya yang kini berada di tahun kedua pengajian.

Anna juga mengakui, dia tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang nyanyian.

Namun, setelah menyertai kelab kebudayaan tersebut, dia dapat belajar banyak perkara tentang nyanyian terutamanya dari segi vokal, persembahan dan sebagainya.

Di situ, dia juga dapat memperbaiki bakat nyanyiannya agar lebih baik.

Malah, setelah menyertai kelab kebudayaan di UKM, bakat nyanyian Anna terus berkembang.

Dia juga sering mendapat undangan daripada pihak luar untuk acara nyanyian.

“Saya pernah menjadi penyanyi pembukaan untuk konsert artis Indonesia, Cakra Khan ketika dia mengadakan persembahan di UKM.

“Selain itu, saya pernah menyanyi di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menghadiri satu acara di UKM,” terangnya.

Anna juga menyimpan hasrat untuk menjadi penyanyi jika mendapat peluang di dalam industri pada masa hadapan.

Kini, dia dalam proses belajar untuk menulis lagu untuk dirinya sendiri.

Ketika diminta mengulas tentang bidang pengajiannya, Anna berkata, dia memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi media kerana minatnya dalam bidang penyiaran.

“Saya seorang yang suka bercakap dan mengacara. Jadi, saya rasa bidang ini tepat jika saya ingin mengejar cita-cita saya.

“Selain menjadi penyanyi, saya juga mempunyai keinginan untuk bergelar pembaca berita dan wartawan penyiaran.

“Menerusi bidang ini, saya dapat belajar banyak perkara tentang penyiaran,” terangnya.

Meskipun sibuk dengan aktiviti nyanyian, Anna tetap mengutamakan pelajaran.

Tujuan utama dia melanjutkan pengajian adalah untuk mendapat ilmu.

“Saya akan pastikan tugasan siap sepenuhnya meskipun kadang-kadang sibuk dengan latihan nyanyian.

“Apa yang penting, bagaimana saya membahagikan masa untuk kedua-duanya dan tahu apa yang perlu diutamakan,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI