fbpx

Ajaran GISBH sama seperti Al-Arqam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mohd Faudzinaim

SEREMBAN – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 28 September lalu mendapati ajaran dan kepercayaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sama seperti ajaran dan kepercayaan Al-Arqam yang telah diwartakan sesat pada 1994.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin bagaimanapun berkata, buat masa ini jawatankuasa berkenaan belum memutuskan sama ada perlu dikeluarkan keputusan baharu atau sebaliknya.

“Fatwa ajaran Al-Arqam yang diharamkan sejak 1994 dan kemudian diwartakan sekali lagi pada 2016 masih relevan dan boleh dikuatkuasakan bagi menangani ajaran GISBH.

“Bagaimanapun, ia akan dinilai dan diputuskan semula pada mesyuarat jawatankuasa fatwa bulan ini,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Setakat ini tiga negeri mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.

Untuk rekod, terdapat 15 ajaran sesat yang telah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sejak 2013 hingga tahun lalu.

Antara ajaran berkenaan ialah Taslim, Qadiani, Syiah, Golongan Anti Hadis, Ajaran dan Fahaman Hizbut Tahrir; Ajaran Zikir Alunan Zat Cinta dan Hikmah al-Fatihah.

Pada tahun lalu, ajaran sesat yang diwartakan ialah Ajaran Makrifat Oleh Ismail Bin Ariffin (Lepat) dan Ajaran Masitah Binti Ab Jalar daripada Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.

Selain itu, terdapat satu lagi ajaran yang kini dalam proses untuk diwartakan sebagai ajaran sesat iaitu Penyelewengan Fahaman Yang Dibawa Oleh Suhaini bin Mohammad (Sohai ibnu Muhammad) – Sihulk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI