KOTA BHARU – Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang dekat sini pada Jumaat lalu.
Pemangku Pengarah JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, kesemua PATI yang terdiri daripada 80 lelaki dan enam wanita itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 3 pagi.
Menurutnya, mereka yang dicekup terdiri daripada 20 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki (Nepal) selain 62 orang lelaki dan enam wanita (Myanmar)
“JIM Kelantan menjalankan risikan selepas menerima aduan berhubung kawasan pertanian di Tanah Tinggi Lojing yang disyaki menggunakan khidmat PATI sejak lebih beberapa bulan yang lalu.
“Kita bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain sebelum menjalankan serbuan 16 lokasi melibatkan rumah kongsi pekerja dan kedai makan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE