fbpx

122,000 murid sekolah rendah Tahun Satu belum kuasai 3M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina dan Amirudin pada sidang media Majlis Perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan di Kajang, Selangor hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD ILHAM SYIR’ABBASY ZAKARIA / KOSMO!

KAJANG – Lebih 122,000 murid Tahun Satu di seluruh negara dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara faktor dikenal pasti disebabkan kesan pandemik Covid-19 dan masalah kemiskinan.

“Kita ada dua pendekatan kumpulan. Satu pengesanan literasi dan numerasi yang kita laksanakan di peringkat sekolah rendah dan yang itu ada 122,000 kanak-kanak darjah satu yang kita kesan belum menguasai 3M.

“Bagi peringkat keseluruhan yang telah pun kita kenal pasti melalui program Anak Kita, ada lebih 83,000 anak-anak di seluruh negara terlibat dalam program ini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan di sini hari ini.

Turut serta pada sidang media berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Program Anak Kita yang dilancarkan pada 27 September lalu antara lain bertujuan mengatasi isu keciciran pembelajaran di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan sebelum ini memaklumkan, seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2024/2025 perlu mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran 3M.

Angka itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM)

“Saya fikir nombor atau angka ini sifatnya dinamik kerana sebaik saja mereka menguasai melalui intervensi dibuat di peringkatan Persekutuan atau negeri melalui program Anak Kita, data-data ini Insya-Allah akan berubah,” kata Fadhlina.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan, kira-kira 17,000 murid Tahun Satu, Dua dan Tiga di Selangor berdepan dengan masalah literasi dan numerasi.

Kata beliau, kebanyakan murid itu adalah mereka yang terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19.

“Kita buat intervensi terhadap program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang mendidik dan melatih mereka supaya lebih cekap dan lebih literasi dan numerasi.

“Maknanya boleh membaca menulis mengira dan cara befikir dapat ditingkatkan. Maklumlah setahun hingga dua tahun tidak bersekolah jadi asas-asas (3M) itu terganggu ketika proses pembelajaran terhenti akibat pandemik Covid-19,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI