fbpx

Zara mahu jadi saintis data Norway

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI Zara,Pendidikan sangat penting kerana ia membuka banyak peluang dalam hidup.

Meskipun baru berusia 21 tahun, gadis kelahiran Shah Alam, Selangor ini membuktikan dia mampu berdikari di negara orang demi mengejar cita-cita sebagai saintis data.

Zara Razlan atau mesra dipanggil Zara berhijrah ke Norway tahun lalu ketika berusia 20 tahun bagi mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Data di Oslo.

Sejak di bangku sekolah lagi, anak bongsu daripada tiga beradik itu menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara selain mencabar diri hidup berjauhan dengan keluarga.

Bersama wartawan Kosmo! Ahad, Zara berkongsi perjalanan hidupnya agar dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda lain.

KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan latar belakang Zara?
Zara: Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara, Bentong, Pahang, saya sambung A Level di Taylor’s College dan kemudian melanjutkan pe­ngajian Ijazah Sarjana Muda Sains Data di BI Norwegian Business School – Kampus Oslo, Norway.

Kenapa pilih bidang sains data?
Saya minat jadi saintis data dalam bidang tenaga. Saya pilih Norway kerana peneraju sektor tenaga terutamanya tenaga boleh diperbaharui se­perti hidroelektrik dan angin.

Apakah perancangan selepas tamat pengajian?
Saya merancang untuk terus tinggal di Norway dan bekerja di sana. Kebanyakan saintis data di Norway terlibat dalam menganalisis data berkaitan pengurusan tenaga, ramalan pengeluaran tenaga dan pemantauan kesan alam sekitar. Norway juga ter­kenal dengan sistem kerja yang sangat sistematik (work-life-ba­lance).

Apakah cabaran tinggal di negara luar?
Sudah tentu bahasa. Tidak semua penduduk Norway fasih berbahasa Inggeris. Mereka mengutamakan bahasa ibunda, Norsk. Alhamdulillah, dalam masa enam bulan, saya mampu menguasainya walaupun hanya belajar di internet.

Aktiviti Zara di Norway selain belajar?
Saya melakukan kerja sambilan sebagai pengajar ‘coding’. Ini adalah tugas sukarela dan percuma yang disediakan oleh sebuah organisasi. Saya pilih mengajar kelas ini sebab minat.

Nasihat kepada golongan muda?
Terus mencintai ilmu. Pendidikan sangat penting kerana ia membuka banyak peluang dalam hidup. Terpulang mahu melanjutkan pelajaran di mana atau bidang apa, paling penting adalah sikap untuk terus belajar sama ada melalui pendidikan formal atau pengalaman praktikal.

Lelaki idaman Zara?
Saya lebih mengutamakan lelaki yang mempunyai perancangan hidup. Dia tahu apa yang perlu diutamakan. Selain itu, dia mestilah sekufu dan boleh berkomunikasi dengan baik.

Kerjaya atau kahwin, mana satu pilihan?
Kedua-dua situasi itu saya terima dengan terbuka. Jika saya bertemu seseorang yang berpendidikan dan ada perancangan hidup, saya terbuka untuk kahwin di usia muda. Jika belum berjumpa, saya mahu mengembara ke seluruh Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI