fbpx

Tak dapat tidur bimbang rumah naik air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZLAN berdiri di ruang luar rumahnya yang digenangi air setelah dilanda banjir di Jalan Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Hujan lebat melanda Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi di sini awal pagi semalam menyebabkan beberapa buah rumah penduduk dinaiki banjir kilat, hari ini.

Seorang mangsa, Mazlan Gapal, 67, berkata, seluruh rumahnya dimasuki air pada pukul 4 pagi menyebabkan dia dan empat lagi ahli keluarga tidak dapat tidur kerana bimbang paras air semakin meningkat.

Katanya, di luar, ruang tamu, dapur dan bilik air semuanya dimasuki air, sekali gus mengulangi kejadian buruk pada tahun 2021 apabila hujan turun lebat melebih dua jam seperti malam tadi.

Menurut Mazlan, dia dan isterinya, Rosmah Ramso, 64, hanya mampu menyelamatkan beberapa barangan ke tempat lain tinggi, namun peralatan lain seperti perabot, permaidani dan sebagainya digenangi air.

“Pak cik tak tahu nak cakap, kawasan kami ini merupakan kawasan rendah dan parit di depan sana, pun tidak mampu untuk tampung jumlah air yang banyak.

“Disebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah ketika orang lain sedang nyenyak tidur, kami bertungkus lumus untuk menyelamatkan barangan yang penting,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir kilat, Md. Imran Md. Salleh, 48, berkata, limpahan dari parit kecil dihadapan rumah menyebabkan halaman kediamannya digenangi air sehingga paras buku lali.

“Mujur hari ini saya cuti. Dapat tengok keadaan rumah kerana sebelum ini pernah berlaku banjir kilat menyebabkan saya terpaksa bergegas balik,” ujarnya bekerja sebagai pemandu lori. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI