SEREMBAN – Suspek yang dipercayai menikam bapanya dalam kejadian di Kampung Senaling, di sini, semalam merupakan seorang anak yang baik selain turut cemerlang dalam pelajaran semasa di sekolah.
Perkara itu dikongsikan kenalan keluarga ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini, hari ini.
Individu yang enggan dikenali itu berkata, perkara itu juga mengejutkan mereka kerana tidak pernah kejadian seumpama itu berlaku lebih-lebih lagi hubungan kedua-dua beranak itu baik.
“Dia (suspek) sangat baik dan dia sangat sayang ayahnya. Ayahnya pun sayang anaknya. Dia dari kecil bersama kembar tidak seirasnya juga merupakan pelajar cemerlang. Cuma semasa di universiti, dia alami tekanan menyebabkan dia tidak menghabiskan pengajian.
“Dalam keluarga, walaupun dia anak ketiga daripada lima beradik, dia dipanggil angah, sementara kembarnya pula dipanggil abang. Difahamkan, kedua-dua beranak ini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Senaling selepas proses bedah siasat siap lewat petang ini,” katanya.
Ujarnya lagi, orang ramai diharap tidak membuat sebarang andaian buruk berhubung kejadian berkenaan berikutan keluarga juga sangat terkesan,
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Gani, motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri.
“Semasa dipujuk oleh mangsa (ayahnya), suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa. Polis turut berjaya menemui senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE