fbpx

Sengsara banjir termenung di Ijok, air makin hitam, busuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Affandy (topi merah) menunjukkan punca banjir akibat ban pecah di Lembangan Sungai Buloh, Ijok, Kuala Selangor, hari ini.- Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR – Lebih 1,400 penduduk di Ijok di sini, menggesa pihak berwajib segera membaik pulih ban pecah di lembangan Sungai Buloh yang mengakibatkan banjir termenung sejak tiga hari lalu.

Kejadian awal pagi kelmarin itu menjejaskan lebih 200 penduduk daripada 55 keluarga di Kampung Batu 7 Ijok, Kampung Parit Mahang dan Kampung Harmoni.

Sehingga kini, seramai 151 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Rendah Agama Ijok dan Dewan Rafulin, Bukit Badong kerana kediaman serta sebuah pusat jagaan warga emas masih ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

Penduduk, Mohd. Roze Basir, 43, berkata, air mula menenggelamkan kediamannya di Kampung Batu 7 setinggi satu meter atau paras pinggang, kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

Katanya, banjir yang berdekatan tapak pembuangan sampah haram itu turut membawa air berwarna hitam dan berbau busuk.

“Ini paling buruk berlaku sejak 2021 selain bimbang ia risiko penyakit berjangkit kerana air semakin hitam dan busuk. Kampung ini masih banjir termenung kerana kerja baik pulih ban pecah sepanjang 15 meter di lembangan sungai itu belum siap,” katanya ketika ditemui di lokasi,  hari ini.

Bagi Zharfan Effendy Mohd. Tohar, 39, air yang melimpah ke dalam rumah membawa sisa sampah haram yang hanyut.

“Justeru, pihak berkuasa digesa menangani isu sampah haram di kawasan berhampiran lembangan sungai tersebut” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ijok, Mohamad Afandy Mohd. Dahlan memaklumkan, ini kejadian pertama berlaku sejak ban ini dibina bagi menghalang laluan air dari Sungai Buloh masuk ke parit kampung.

“Selagi belum diselesaikan keadaan banjir melanda rumah penduduk tidak surut,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan ban di lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini, pecah hingga menyebabkan limpahan air berwarna hitam yang membawa kotoran sampah ke kebun penduduk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI