fbpx

Ribuan pengunjung meriahkan Hari ATM ke-91 di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar dan merasai pengalaman menggunakan senjata dan peralatan milik ATM yang dipamerkan di Padang Ragbi Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Si Rusa, Port Dickson

PORT DICKSON – Ribuan pengunjung membanjiri Pantai Cahaya Negeri dan Padang Ragbi Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Si Rusa di sini sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91.

Bertemakan ‘Angkatan Masa Hadapan, Benteng Pertahanan Negara, sambutan selama tiga hari bermula Jumaat lalu menghimpunkan aset dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM termasuk Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut.

Paling mencuri tumpuan pada sambutan tersebut tersebut adalah pameran aset seperti kereta kebal, helikopter serta persembahan daripada kumpulan tempur tanpa senjata (TTS) dan persembahan pasukan ‘Army Red Warrior’.

Selain itu, pengunjung turut dipertontonkan persembahan daripada Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM), persembahan oleh pasukan anjing perang dan kawad ‘Silent Drill) TLDM.

Pada sebelah petang dan malamnya pula, pengunjung dihiburkan dengan persembahan oleh beberapa kumpulan muzik antaranya Band The Sixers, Band Stallion Quattro, Band D’ Tartan, Band D’Puma dan Band D’Amplifier 24.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman bersama isteri, Puan Sri Ramlah Dawi ketika merasmikan Karnival HUT ATM ke-91 di Padang Ragbi Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Si Rusa, Port Dickson semalam.

Turut diadakan sesi ‘podcast’ bersama selebriti terkenal Asyraf Muslim dan Dayah Bakar.

Majlis perasmian Karvinal HUT ATM ke-91 itu telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Asnawi Mohd, 46, berkata, dia begitu teruja untuk hadir ke Port Dickson pada tahun ini untuk merasai kemeriahan Hari ATM selepas beberapa kali terpaksa membatalkan hasrat akibat kekangan kerja.

Dia yang datang ke Port Dickson bersama isteri serta dua orang anak itu berkata, mereka akan berada di situ sehingga karnival itu berakhir pada Ahad.

Persembahan pancaragam dan permainan api oleh pasukan Pancaragam TLDM.

“Akhirnya, tahun ini kami berkesempatan juga menyertai sambutan Hari ATM ke-91 selepas dua kali terpaksa menunda gara-gara tidak dapat cuti.

“Anak-anaklah paling teruja nak datang ke sini kerana mereka mahu lihat lebih dekat aset-aset milik ATM terutamanya helikopter dan kereta kebal,”katanya yang datang dari Cheras, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Asnawi berkata, kedua-dua anak lelakinya itu juga bercita-cita mahu menjadi pegawai ATM pada masa akan datang.

Turut berkunjung ke karnival Hari ATM itu adalah seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Nur Aliya, 30.

Katanya, dia mengambil peluang untuk hadir ke karnival tersebut bagi mengambil peluang merakam gambar bersama aset-aset ATM yang dipamerkan di tapak karnival tersebut.

“Sebagai penduduk Port Dickson, rugilah kalau tidak ambil peluang datang ke karnival ini. Lagi pun bukan selalu kita diberi peluang untuk bergambar dan merasai pengalaman menaiki kenderaan milik ATM,”ujarnya.

Dalam pada itu, seorang bapa yang dikenali sebagai Ridhuan, 35, berkata, dia datang ke karnival tersebut semata-mata mahu memenuhi impian anak lelakinya berusia 10 tahun untuk melihat kereta kebal, helikopter serta senjata yang dipamerkan di tapak karnival tersebut.

Jelas Ridhuan, anaknya sangat teruna apabila dapat melihat aset-aset yang dipamerkan di tapak karnival tersebut.

“Sebelum ini hanya lihat dalam televisyen, tetapi hari ini (Jumaat) dia dapat pegang dan bergambar dengan aset-aset milik ATM. Seronok betul dia,”katanya.

Selain pemeran aset oleh pihak ATM, karnival Hari ATM juga turut menyediakan gerai jualan makanan, minuman dan gerai pameran agensi kerajaan serta swasta.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI