PARIS – Pemain tengah Juventus, Paul Pogba menganggap ‘mimpi ngeri’ yang dilalui akhirnya menemui noktah selepas hukuman penggantungan empat tahun yang dikenakan telah dikurangkan.
Pemain berusia 31 tahun itu dijatuhkan hukuman penggantungan selama empat tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Februari lalu selepas gagal dalam ujian doping selepas dikesan menggunakan bahan terlarah DHEA ketika Juventus menentang Udinese pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, rayuan yang dikemukakan menyaksikan Pogba mendapat diskaun hukuman apabila penggantungan itu hanya dikenakan untuk tempoh 18 bulan sahaja dan dibenarkan untuk kembali menjalani latihan pada Januari depan dan beraksi bersama Juventus bermula Mac 2025.
Pogba masih lagi kekal konsisten dengan pengakuan tidak bersalah dan menolak dakwaan mengambil bahan terlarang untuk merangsang prestasinya sebaliknya bahan tersebut terkandung di dalam produk makanan tambahan yang tidak disedarinya.
“Akhirnya ‘mimpi ngeri’ ini berakhir. Ekoran keputusan oleh CAS, saya tidak sabar untuk kembali memburu impian saya sekali lagi. Saya selalu nyatakan bahawa saya tidak pernah melakukan pelanggaran Agensi Anti Doping Dunia (WADA) kerana saya mengambil makanan tambahan itu berdasarkan nasihat daripada doktor.
“Saya sentiasa beraksi dengan penuh intergriti, walaupun saya terpaksa menerima bahawa ini adalah kesalahan yang berat telah saya lakukan. Saya mahu berterima kasih kepada CAS yang sudi mendengar penjelasan dan rayuan pihak saya.
“Ia adalah fasa tekanan yang tinggi dalam hidup saya kerana kerja keras yang saya lakukan sebelum ini seakan tertangguh. Kini, saya tidak sabar untuk kembali ke padang,” kata Pogba dalam satu kenyataan. – AGENSI