JOHOR BAHRU – Pelancaran operasi kontena di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang bakal melonjakkan pertumbuhan Johor sebagai kuasa ekonomi terbesar di negeri ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini merupakan satu projek penting yang menjadikan Johor sebagai satu-satunya negeri di Semanjung yang mempunyai tiga pelabuhan kontena selain di Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Katanya, pembangunan ini menandakan satu lagi langkah penting yang telah diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara
selari dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal merangsang pertumbuhan di Wilayah Selatan negara.
“Selain pelabuhan, beberapa dasar penting di bawah kerajaan Madani berkisar kepada pertumbuhan Johor, ini adalah strategi kerajaan Persekutuan dalam menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang paling utama.
“Pertumbuhan ini turut dirangsang dengan pelbagai projek infrastruktur besar seperti Sistem Transit Rapid (RTS) yang siap dalam tempoh dua tahun lagi manakala Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan siap beberapa bulan lagi.
“Inisiatif serta dasar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga merupakan pendekatan yang sangat berani yang bukan sahaja melonjakkan ekonomi di Johor tapi di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor di Ekoflora, di sini hari ini.
Khamis lalu, Anthonya merasmikan pelancaran operasi kontena Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikatnya, JLand Group (JLG) di
Pelabuhan Tanjung Langsat.
Pelabuhan Tanjung Langsat dikendalikan oleh TLP Terminal Sdn. Bhd. (TLPT) yang telah diberi lesen oleh Lembaga Pelabuhan Johor (JPA) untuk mengendalikan kargo cecair, pukal dan Separa Pukal dan Kontena. – KOSMO! ONLINE