GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki dipercayai lemas ditemukan terdampar di atas batu di kawasan persisiran pantai berhampiran sebuah pangsapuri di Tanjung Tokong, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.34 petang itu, mayat mangsa, A. Sekar, 44 tahun, ditemukan terdampar di atas batu dengan anggaran jarak 50 meter dari persisiran pantai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihak bomba yang tiba lokasi kejadian mendapati terdapat mayat seorang lelaki di atas batu.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi.
“Pihak bomba kemudian mengambil mayat mangsa dan dibawa naik ke darat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan kes masih dalam siasatan polis. – KOSMO! ONLINE