BINTULU – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih terbuka untuk mengeluarkan dana bagi menganjurkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada masa akan datang.
Menurut Hannah, inisiatif kerajaan Sarawak yang menjadi tuan rumah pada dua peringkat terakhir LTdL 2024 wajar dicontohi oleh negeri lain bagi memastikan pembangunan sukan di daerah masing-masing terus bergerak aktif.
“Kami sangat gembira kerana Sarawak menunjukkan komitmen dan proaktif dalam bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa beberapa acara sukan diadakan di sini.
“Cabaran sekarang adalah memastikan negeri-negeri lain untuk turut serta memainkan peranan mereka dalam membangunkan bukan sahaja sukan tetapi juga potensi pelancongan.
“Kita tidak boleh selalu mengharapkan Sarawak untuk membantu seperti yang mereka lakukan dengan Sukma (Sukan Malaysia) 2024 dan LTdL kali ini.
“Ketua-ketua menteri negeri lain perlu melihat ini sebagai pelaburan. Jika tidak, exco belia dan sukan untuk negeri-negeri akan sentiasa menerima peruntukan terkecil dalam belanjawan,” katanya ketika ditemui pada aksi peringkat terakhir LTdL 2024 hari ini.
Sebagai rekod, dana tajaan keseluruhan yang diterima pada penganjuran LTdL 2024 mencecah RM8.1 juta, manakala KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) membelanjakan hampir RM12 juta untuk memastikan perlumbaan berjalan lancar sejak 29 September lepas.
Mengulas lanjut, Hannah turut mengesahkan banyak negeri menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah kepada salah satu laluan LTdL pada tahun depan tetapi enggan mengeluarkan pembiayaan.
“Pada masa ini, semua ketua menteri tahu ini adalah acara tahunan. Mereka perlu melihat ini sebagai pelaburan untuk membawa pelancong ke negeri mereka.
“Cabaran sentiasa mengenai peruntukan kerana sebelum ini memang sudah banyak negeri menawarkan diri tetapi enggan mengeluarkan pembiayaan,” katanya.
Saingan LTdL bertaraf 2.Pro kali ini yang melabuhkan tirainya hari ini telah disertai 22 pasukan meliputi jarak 1,190km dengan merentasi 11 negeri.