fbpx

Larian songsang: Semua pihak diminta hormat sensitiviti Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im menggesa semua pihak menghormati sensitiviti Islam.

PUTRAJAYA – Semua pihak diseru supaya sentiasa menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum dan nilai-nilai fitrah insan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks ini, apa-apa acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali.

“Semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini (pelancong berpakaian songsang ketika acara larian di Johor).

“Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Terdahulu, tular di laman media sosial beberapa keping gambar yang memaparkan peserta acara larian di Johor yang berpakaian tidak senonoh selain dilihat turut mempromosikan budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT).

Susulan isu itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan acara sehingga menggugat keharmonian serta kedaulatan Islam selain menjatuhkan imej Johor secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihaknya juga mengambil maklum kenyataan dijelaskan Onn Hafiz yang menyatakan acara larian tersebut tidak dianjurkan oleh kerajaan negeri, mahupun mana-mana agensi berkaitan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan kerajaan negeri yang meminta siasatan dijalankan oleh polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Penawar, Fauziah Misri dilaporkan memohon pihak berkuasa menyiasat program itu yang difahamkan berlaku semasa sebuah program larian antarabangsa anjuran sebuah persatuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI