fbpx

KKM nafi lewat tubuh pasukan khas siasat kematian pakar patologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly ketika sidang akhbar di Eco Grandeur, Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.- Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan berhubung kelewatan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai isu itu dianggap tidak tepat.

Menurut beliau, pasukan khas itu ditubuhkan bagi menganalisis input daripada siasatan insiden berkenaan secara lebih mendalam.

“Kenyataan beliau (Poay Tiong) bahawa kami lewat (menjalankan siasatan) tersasar daripada fakta sebenar.

“Beliau sepatutnya mengetahui kita telah memulakan siasatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (Sabah) dalam kadar segera,” katanya selepas program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Negeri Selangor di Eco Grandeur, Puncak Alam di sini, hari ini.

Kelmarin, Pay Tiong dalam satu kenyataan meluahkan kekecewaan terhadap pengumuman KKM bahawa pasukan petugas itu hanya akan ditubuhkan pada 10 Oktober iaitu lebih sebulan selepas kematian Dr. Tay Tien Yaa pada 29 Ogos lalu.

Media sebelum ini melaporkan seorang pakar di Hospital Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya pada 29 Ogos lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Dalam pada itu, kata Dzulkefly, pihaknya memberikan jaminan keluarga mendiang akan diberi pampasan ex-gratia selepas memperoleh hasil siasatan pasukan khas berkenaan.

“Selepas kita ada dapatan, kalau mendiang layak untuk diberikan pampasan, kita akan segera berikan mengikut SOP (prosedur operasi standard). Saya memberi jaminan akan berkongsikan hasil dapatan panel itu kepada umum kerana kami telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI