PETALING JAYA – Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Madani akan memastikan industri sawit negara ini terus diperkasa dalam Belanjawan 2025.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah antara intipati perbincangan sesi libat urus bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini.
Hadir sama dalam sesi libat urus tersebut adalah Ketua Setiausaha Negara serta pegawai kanan kerajaan mengadakan perbincangan bersama pemain industri sawit.
“Dalam sesi libat urus, beberapa perkara disentuh dan diberi perhatian antaranya melibatkan isu berkaitan tenaga kerja asing dan kadar pengeluaran sawit yang rendah.
“Turut dibincangkan adalah usaha meningkatkan aktiviti hiliran berkaitan sawit dalam usaha memastikan kelangsungan industri sawit negara,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, Kerajaan Madani akan meneruskan siri libat urus bagi mendengar pandangan setiap segmen masyarakat termasuk pemain industri di negara ini.-KOSMO! ONLINE