LONDON – Penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko menegaskan bahawa pasukannya akan memberi tumpuan untuk merekrut pemandu junior berbanding membawa masuk bintang Formula Satu (F1) seperti George Russell.
Red Bull dikatakan sedang mencari rakan sepasukan terbaik buat juara dunia, Max Verstappen pada masa akan datang kerana Sergio Perez dilihat gagal memberi tentangan hebat dalam perlumbaan musim ini.
Dalam 12 perlumbaan terakhir, Perez hanya mampu mengutip 41 mata, jauh di belakang Verstappen yang meraih 195 mata dalam tempoh yang sama.
Lebih mengecewakan, kegagalan Perez dan Verstappen dalam 12 perlumbaan terakhir menyebabkan kedudukan Red Bull dalam persaingan gelaran kejuaraan pengeluar terus ketinggalan apabila dipintas pasukan McLaren.
Walaupun bintang Mercedes, Russell dianggap sebagai pemandu yang berpotensi untuk menggantikan Perez, Red Bull dilihat lebih cenderung memberi ruang kepada barisan protege mereka.
“George Russell setanding dengan Lewis Hamilton dalam sesi kelayakan, malah mungkin lebih pantas. Tetapi, Russell terikat dengan Mercedes, dan kami sekarang lebih fokus kepada pemandu muda kami,” kata Marko.
Red Bull juga membuat keputusan mengejut apabila membawa masuk pelumba muda akademi mereka iaitu Liam Lawson untuk menggantikan Daniel Ricciardo untuk enam pusingan terakhir musim ini.
Lawson akan bergandingan dengan Yuki Tsunoda yang juga berada dalam radar pasukan utama, tetapi masih belum cukup meyakinkan untuk menggantikan Perez. – AGENSI