MANCHESTER – Perkataan sabar terus menjadi ‘kunci’ utama alasan yang diberikan oleh pengendali Manchester United, Erik Ten Hag yang sedang berdepan tekanan tinggi ekoran prestasi tidak menentang pasukan itu pada awal musim.
Selepas gagal meraih kemenangan pada ujian pertama menentang FC Porto kelmarin, Ten Hag berdepan ujian terakhir yang cukup berat apabila wajib menang ke atas Aston Villa di Villa Park malam ini untuk mengekalkan jawatannya.
“Saya melantik beberapa staf baharu, kami juga baru membeli pemain-pemain muda dan kini adalah proses mengintegrasi mereka. Manuel Ugarte adalah pemain hebat, kami menandatanganinya musim ini, tetapi dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Saya faham bahawa dalam tahap bola sepak tertinggi, anda tidak boleh tunggu, mereka perlu segera memberikan aksi terbaik, tetapi itu tidak realistik. Dia dianggap (Ugarte) perlu cepat menyesuaikan diri dengan peranannya, rakan sepasukan dan suasana Liga Perdana Inggeris (EPL), namun semua itu memerlukan masa,” katanya.
Ten Hag ketika ini sedang menghitung nasibnya sendiri ekoran permulaan buruk United musim ini apabila hanya meraih tujuh mata dalam enam penampilan EPL termasuk gagal meraih kemenangan ke atas Porto biarpun selesa mendahului dengan dua gol.
“Saya tidak mahu memikirkan mengenai isu itu (pemecatan) kerana ia bukan topik sepatutnya diperkatakan. Kami masih kekal bersama, pemilik kelab, pihak pengurusan tertinggi, staf dan seluruh pasukan ini,” jelasnya.
Pengurus kelahiran Belanda itu juga percaya bahawa penyerangnya, Rasmus Hojlund sudah kembali mendapat tahap kecergasan terbaik dan menjadi taruhan penting dalam usaha menggempur kubu Villa malam ini.
“Saya gembira apabila Hojlund sudah kembali. Kami tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk tempoh dua bulan musim ini. Saya harap dia akan kekal cergas dan konsisten untuk membantu kami,” ujarnya. – AGENSI