PETALING JAYA – Pernah hidup susah, pelakon Datin Atikah Suhaime tidak menyangka nasi goreng resipi ibunya ketika mereka sekeluarga hidup susah kini menjadi hidangan kesukaan keluarga mentua.
Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 33, berkata, menu nasi berlaukkan ikan bilis tanpa daging mahupun ayam itu mengingatkannya agar tidak lupa diri.
“Nasi goreng ini ada kisah silamnya. Dulu keluarga saya masa susah hari-hari mama Tika (panggilan Atikah) buat nasi goreng tapi tak pakai daginglah, setakat ikan bilis sahaja.
“Kadang-kadang Tika teringin makan masakkan mama, jadi buatlah nasi goreng ala mama Tika masak. Papa mentua Tika terbau nasi goreng itu dia akan minta.
“Tika cakaplah ini masakan orang miskin sahaja, biasa-biasa, pandai makan ke? Sejak hari itu resipi nasi goreng ini sangat popular di rumah mentua,” katanya dalam perkongsian di aplikasi TikTok.
Menerusi perkongsian sama, aktres yang kini hamil anak pertama turut mendedahkan suaminya, Datuk Lokman Teh mengidam nasi goreng air tangannya itu.
Begitupun akui Atikah, memori dihimpit kemiskinan membuatkan keluarganya trauma sehingga enggan lagi menjamah menu wajib mereka suatu ketika dulu bimbang terkenang kisah silam.
“Kali ini bukan saya mengidam tetapi suami yang nak makan nasi goreng. Dia cakap siap mimpi lagi nak makan nasi goreng masakan saya.
“Ironinya keluarga saya di Singapura tak boleh telan langsung nasi goreng ini sebab trauma waktu susah dulu.
“Jadi itulah kisah nasi goreng resipi mama Tika ini. Alhamdulillah Tika bersyukur dengan rezeki yang Allah beri sekarang ini,” ujarnya.
Pada masa sama, dia tidak ketinggalan menitipkan pesanan agar orang ramai jangan berkira dengan ibu bapa selain harus ikhlas bersedekah.
Kongsinya, walaupun keluarga mentua berkemampuan dia tetap menghulurkan duit belanja agar terus dimurahkan rezeki.
“Untuk pastikan rezeki tak putus, jangan lupa sedekah walaupun RM2 sekali pun kepada yang memerlukan dan jangan pernah kedekut dengan mak ayah sendiri.
“Walaupun keluarga mentua kaya, Tika masih beri sedikit duit, belanja makan atau apa sahaja.
“Jangan lupa doa setiap kali lepas solat walaupun kita sibuk bekerja. Alhamdulillah bila Tika buat amalan ini rezeki belum pernah putus,” katanya.
Terdahulu, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Lokman yang juga ahli perniagaan pada Januari lalu dan baru sahaja mengumumkan kehamilan zuriat pertama mereka.
-KOSMO! ONLINE