JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dijangka menambah sengat di bahagian jentera serangan bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elit apabila dikaitkan dengan bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez.
Meskipun jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah ditutup 22 September lalu, namun pemain berusia 31 tahun itu masih boleh didaftarkan untuk beraksi dalam saingan ACL Elit.
Spekulasi itu bertiup kencang selepas media Sepanyol, Marca mendakwa Rodriguez sedang berada dalam perjalanan ke Malaysia bagi menyertai sebuah kelab gergasi yang berpangkalan di Liga M dan ia menerima tanda suka pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail.
“Jese Rodriguez kembali merantau dengan menyertai pasukan kesepuluh dalam kariernya di usia 31 tahun. Satu keputusan yang tidak pernah anda bayangkan, dia akan menjadi pemain bintang di Liga Malaysia,” kata laporan itu.
Pada ketika ini, Rodriguez bergelar sebagai ejen bebas selepas dia mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan terdahulu, iaitu Coritiba yang beraksi dalam saingan Serie B Brazil.
Sebagai rekod, pemain Sepanyol itu boleh dianggap memiliki reputasi cukup besar dalam kancah bola sepak Eropah apabila pernah berkongsi bilik persalinan bersama pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo.
Ketika menyarung jersi skuad utama Los Blancos pada 2011 hingga 2016, Rodriguez yang lebih banyak diturunkan sebagai pemain gantian melakukan 63 penampilan selain berjaya menjaringkan 13 gol.
Selepas meninggalkan Santiago Bernabeu, dia banyak berkelana ke liga-liga utama Eropah yang lain termasuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dalam Ligue 1 selain pernah beraksi bersama Stoke City di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jika benar dakwaan seperti yang dilaporkan Marca, Rodriguez berpeluang untuk bertemu semula dengan Ronaldo seandainya JDT dan Al-Nassr melangkah ke pusingan kalah mati pada ACL Elit nanti.