fbpx

‘Baru bersih rumah, dah banjir lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk meredah banjir yang melanda kawasan rumah mereka di Kampung Kubang Betong di Changlun, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

CHANGLUN – Rata-rata penduduk di sini memberitahu, mereka sudah bersedia menghadapi banjir kali kedua, hari ini berikutan hujan lebat berpanjangan dari petang hingga tengah malam tadi.

Menurut penduduk Kampung Kubang Betong, di sini, Siti Ramlah Abdul Hamid, 66, anak-anaknya sudah mula mengangkat barang seperti mesin basuh dan peti ais ke tempat tinggi selepas berlaku hujan lebat sejak petang semalam.

“Banjir melanda beberapa kampung seperti Kampung Belukar kira-kira pukul 1 pagi tadi sebelum air turun ke kampung ini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

“Nasib baik anak-anak saya sudah bersiap sedia angkat barang ke tempat tinggi. Cuma rasa letih sebab kami baru bersihkan rumah akibat banjir pada 18 September lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Kampung Kubang Betong, Nor Asmira Ahmad, 34, berkata, dia sekeluarga setakat ini belum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kebanyakan barang yang kami angkat naik ke tingat atas rumah ketika banjir pada bulan lalu masih belum dibawa turun. Cuma pagi tadi saya dan suami terpaksa angkat peti ais dan mesin basuh ke tempat tinggi,” ujarnya.

Katanya, ia merupakan banjir kali kedua melanda kawasan rumahnya pada tahun ini.

“Biasanya banjir sekali sahaja setiap tahun, namun kali ini sudah dua kali. Risau juga sebab cuaca masih nampak mendung,” jelasnya.’

Penduduk Kampung Belukar, Solehin Abu Bakar, 33, berkata, air naik kira-kira pukul 1 pagi tadi dan dia sempat mengangkat barang ke tempat tinggi.

“Air mula naik hingga paras lutut ke kawasan rumah pada pukul 1 pagi tadi akibat limpahan Sungai Tok Mas. Nasib baik tikar getah yang rosak masa banjir bulan lalu saya tidak ganti lagi, kalau tidak rosak lagi,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dia bersama isteri dan empat anak tinggal di tingkat atas rumah dan akan berpindah ke PPS sekiranya air terus meningkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI