fbpx

Banjir Chiang Mai makin buruk, gajah mati dihanyutkan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar edaran Taman Elephant Nature menunjukkan gajah berdiri di dalam air banjir di tempat perlindungan haiwan di wilayah Chiang Mai kelmarin. - AFP

BANGKOK – Banjir teruk melanda Chiang Mai ketika air di Sungai Ping meningkat kepada rekod 5.3 meter semalam, manakala dua ekor gajah yang dihanyutkan dari sebuah taman perlindungan haiwan ditemui mati di daerah Mae Taeng.

Akhbar Bangkok Post melaporkan, Sungai Ping yang melalui bandar Chiang Mai, meningkat dengan pantas dan paras airnya mencecah 5.3 meter di Jambatan Nawarat sekitar tengah hari semalam. Ia mencatatkan rekod baharu dalam masa 50 tahun.

Di kebanyakan kawasan, air banjir sedalam kira-kira 1 meter dicatatkan semalam. Zon ekonomi utama di Chiang Mai terjejas teruk sekali lagi ketika ia mula pulih daripada banjir besar pada 26 September lalu.

Daerah perniagaan utama di Chang Khan Road dan Night Bazaar berada di bawah paras 1 meter, manakala banyak kedai terpaksa ditutup.

Air banjir yang semakin meningkat telah mendorong pegawai untuk memindahkan pelancong ke kawasan lebih selamat. Bagaimanapun, beberapa hotel masih dibuka bagi menempatkan pengunjung yang memutuskan untuk terus menginap.

Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai terus beroperasi seperti biasa walaupun penumpang dinasihatkan untuk merancang pertambahan dua hingga tiga jam masa perjalanan bagi berdepan kemungkinan kelewatan.

Sementara itu, di daerah Taeng, usaha habis-habisan diteruskan untuk mengesan haiwan-haiwan yang terperangkap dalam banjir yang semakin meningkat. Arus banjir deras juga telah membanjiri Taman  Elephant Nature yang terkenal.

Taman itu menempatkan 126 ekor gajah dengan dua daripadanya disahkan mati selepas dihanyutkan air banjir.

Sejurus menerima amaran banjir pada Khamis lalu, kakitangan mula memindahkan gajah-gajah ke kawasan lebih tinggi dan usaha diteruskan hingga malam kelmarin.

Bagaimanapun, air terus naik, manakala lebih banyak kawasan tanah tinggi tidak terkecuali daripada terjejas. Seluruh perkampungan gajah kini ditenggelami air teruk.

“Haiwan-haiwan kami terapung dan hanyut dalam air banjir. Gajah di sini tidak dirantai tetapi berada di dalam kandang berpagar.

“Air banjir telah meningkat kepada lebih 3 meter dan melebihi pagar tempat perlindungan haiwan, hampir mencecah bumbung,” kata pengasas taman tersebut, Saengduean ‘Lek’ Chailert. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI