IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak sesekali akan mengubah ketetapan Islam sebagai agama rasmi Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa oleh seorang pemimpin pembangkang, baru-baru ini.
Anwar berkata, kenyataan pemimpin pembangkang itu hanya bersifat tuduhan palsu yang sengaja diwujudkan bagi mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat supaya membenci kerajaan.
“Ada baru-baru ini seorang tokoh pembangkang yang guna lambang Islam, katanya kerajaan ini akan meninggalkan landasan, menukar prinsip Islam dalam perlembagaan.
“Ini khayalan apa? Tidak pernah mana-mana pemimpin kerajaan menolak prinsip bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja sepanjang saya menjadi Perdana Menteri dalam tempoh hampir dua tahun ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini hari ini.
Ujarnya, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak mengkritik kerajaan, namun tidak bermakna boleh menabur fitnah terutamanya melibatkan isu yang menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).
“Kritik la dasar ekonomi kita, ringgit dan Perdana Menteri, tetapi tidak boleh khianat, dusta, fitnah, menakutkan rakyat seolah-oleh kita sudah merosakkan soal bahasa, bangsa, agama atau raja,” katanya. – KOSMO! ONLINE