SERDANG – Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran kereta di Jalan BS 9 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 2.39 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dari pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebuah kereta jenis Perodua Kancil didapati terbakar 90 peratus.
“Akibat kebakaran itu, mangsa lelaki warga emas berusia lingkungan 80an melecur 90 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, mangsa berada diluar kenderaan ekoran orang awam bertindak membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum bomba tiba dilokasi.
“Mayat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tindakan lanjut.
“Pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE