fbpx

Taman Sri Muda digempur, tangkap 602 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan pihak berkuasa di Taman Sri Muda. FOTO AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, yang sebelum ini terkenal sebagai koloni pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya digempur dalam operasi bersepadu hari ini.

Serbuan bermula pukul 12 tengah hari itu berjaya memeriksa 1,091 warga asing sebelum menahan 602 PATI yang berusia 19 hingga 55 tahun.

Ini melibatkan 505 lelaki dan 97 wanita terdiri warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, Pakistan, India, Sri Lanka, Filipina dan Algeria.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi dijalankan hasil keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor susulan hasil dapatan maklumat dan siasatan terhadap lambakan serta kehadiran warga asing yang dikhuatiri dan berpotensi melanggar kesalahan Akta Imigresen dan lain-lain.

Katanya, perancangan operasi telah dilakukan sejak bulan Mac lalu dengan melihat sendiri trend kehadiran warga asing di lokaliti ini.

“Hasilnya awal memeranjatkan dengan lebih 60 peratus daripada 1,091 warga asing yang diperiksa adalah disyaki PATI.

“Pelbagai alasan digunakan mereka bagi meloloskan diri termasuk tertinggal pasport atau dokumen diri, ada yang kata ditipu dan sebagai.

“Itu semua bukan alasan yang boleh diselesaikan di lapangan (lokasi serbuan). Kita akan buat verifikasinya nanti,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut hari ini.

Menurut beliau, peluang juga dibuka kepada majikan untuk hadir dalam melakukan dokumentasi sama ada warga asing yang ditangkap adalah pekerja yang sah atau pun sebaliknya.

“Tidak tahulah kalau ada berani datang. Biasanya, majikan tidak berani ke (Depot Imigresen) Semenyih sebab mereka juga melakukan kesalahan melindungi warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah,” tegasnya.

Operasi tersebut disertai 445 anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Shah Alam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Amirudin menjelaskan, operasi bersepadu ini juga bagi melihat keberkesanan, keseragaman dan kolaborasi pihak berkuasa secara sepenuhnya dalam membanteras kebanjiran warga asing terutama PATI.

Ini termasuk daripada pihak berkuasa tempatan dari segi lesen dan penjualan barangan selain siasatan jenayah dengan pihak polis.

“Namun, kesalahan tinggal lebih masa adalah jelas dengan ada patut pulang tahun lalu dan Januari tahun ini.

“Ada yang masuk tahun 2022 dan sepatutnya mereka sebulan sahaja namun tidak menyambung kedudukan mereka (tinggal di negara ini). Jadi siasatan akan dilakukan siapa majikan dan bawa mereka yang akan diambil tindakan lanjut oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau antara fokus kesalahan termasuk dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

“Kita akan melakukan operasi berterusan di lokaliti lain dari masa ke semasa yang dikenalpasti mempunyai kebanjiran warga asing.

“Ini bagi menangani persepsi dan realiti yang ada di akar umbi di sesuatu lokaliti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI