BALING – “Saya mimpi ayah pulang naik kereta Proton Waja, muka ayah gembira macam tidak ada apa yang berlaku”
Demikian kata Muhammad Amir Hakimi, 25, anak bongsu kepada pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini hari ini.
Katanya, bapa hanya muncul sekali dalam mimpinya sepanjang tempoh kehilangan sejak 4 September lalu.
Menurutnya, mimpi itu berlaku sebelum Proton Waja bapanya ditemui dalam keadaan hangus dipercayai akibat dibakar suspek di tapak pembuangan sampah di Pulau Belantik, Sik dekat Hutan Gubir pada 20 September lepas.
“Kehilangan ayah beri kesan mendalam kepada diri saya dan dua kakak. Kami sentiasa ingat dia dan kenangan bersamanya.
“Ayah selalu pesan jangan sombong, malah dia juga tidak mahu memasang ‘tinted’ gelap pada kereta sebab dia kata senang nak angkat tangan dan tegur orang. Kalau cermin gelap orang tak nampak dia,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dia dan dua kakak, Suraiya Izzaty, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28, tidak akan memaafkan dua suspek kes pembunuhan bapanya itu sampai bila-bila.
“Saya minta maaf mengatakan bahawa kami tidak akan memaafkan orang ini (suspek), sebab ayah saya baik dengan dia, baik dengan semua orang tetapi dia sanggup buat benda ini.
“Memang tidak maafkan sampai bila-bila, ayah saya baik dan tiada ganti. Orang baik memang banyak, pakcik saya baik, bapa mentua saya baik tetapi ayah saya tiada ganti,” ujarnya.
Kata Muhammad Amir Hakimi, dia juga masih terbayang wajah suspek selepas membuat pengecaman baru-baru ini.
“Kalau saya jumpa dengan suspek, saya mungkin tidak mahu tengok muka dia lagi. Waktu buat pengecaman suspek, bila polis tanya kenal atau tidak, saya tidak mahu tengok lama-lama sebab nanti trauma akan teringat muka dia, orang yang bunuh ayah kami.
“Kalau boleh nak lupakan muka, walaupun sekarang ini dalam kepala masih lekat iras muka dia. Bila bangun tidur pun ingat wajah dia (suspek). Kalau boleh nak lupa sebab tidak mahu ia mengganggu kami di masa depan,” jelasnya.
Tambahnya, harapan mereka ketika ini adalah supaya jasad bapa ditemui suatu hari nanti, selain kedua-dua suspek menerima hukuman setimpal atas perbuatan kejam dilakukan.
“Apa yang suspek buat sangat kejam dan keterlaluan, ayah saya sudah tua kalau nak lawan dengan seorang pun tidak berdaya, apatah lagi dua suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE.