PETALING JAYA – Keadaan penutup simen yang terangkat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menerusi perkongsian video di laman media sosial memaparkan insiden tersebut yang berlaku berhampiran kawasan tanah jerlus yang menyebabkan seorang wanita warga India hilang Ogos lalu.
Berdasarkan video berdurasi 25 saat itu, penutup simen tersebut dilihat terbuka dan tertutup berulang kali dipercayai akibat tekanan udara di bawah tanah.
Rata-rata orang ramai meluahkan kebimbangan terhadap perkara tersebut yang dikhuatiri boleh mengakibatkan tanah jerlus atau lubang mendap baharu.
“Tekanan (udara) bawah tanah. Awas, boleh jadi tanah jerlus,” kata Nur.
“Jika ada tekanan kuat sekuat itu, memang ada lekukan sedang berlaku di bawah tanah,” jelas Lyna.
Sebelum pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dihentikan selepas sembilanhari susulan tiada sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu diambil selepas kerajaan mengambil kira isu keselamatan membabitkan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar. – KOSMO! ONLINE.