fbpx

Pemilik lori sebabkan gadis parah dihempap balak didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas dihempap kayu balak Persimpangan Lampu Isyarat Bendahara, Gua Musang pada 9 Julai lalu.

GUA MUSANG – Seorang pemilik sebuah lori balak didenda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas pertuduhan membenarkan pemandu untuk memandu kenderaan syarikat tanpa lesen sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal kira-kira tiga bulan lalu.

Mohamad Nur Hakimi Mat Yusof, 51, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, OKS yang merupakan pemilik sebuah lori balak didakwa gagal melindungi keselamatan penumpang di atas kenderaan barangan dan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal kerana OKS membenarkan pemandu memandu kenderaan syarikat tanpa memiliki lesen memandu yang bertentangan dengan syarat am lesen pengendali.

Perbuatan itu dilakukan di Persimpangan Lampu Isyarat Bendahara, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 9 Julai lalu.

Mohamad Nur Hakimi didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b)(x) Agensi Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan, Wan Amin Ridzuan Wan Draman manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan denda RM10,000 dan OKS membayar denda tersebut pada hari yang sama.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang gadis parah selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak yang tergolek dari sebuah lori ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada 9 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Siti Norelyana semakin pulih apabila hampir sebulan bertarung nyawa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu sebelum dibenarkan keluar dari hospital itu pada 7 Ogos lalu selepas ditidurkan beberapa kali semasa menjalani rawatan.

Gadis itu ketika ini sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa meskipun beberapa organ dalaman seperti hati, paru-paru dan buah pinggang hampir rosak termasuk patah pada lima batang tulang rusuk dan belakang.

Siti Norelyana yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu turut mengakui masih trauma dengan peristiwa tersebut dan menjadi takut setiap kali melihat lori balak yang berada di tengah jalan.

Siasatan polis mendapati, penyambung atau cakera putar lori yang patah dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh sebelum menghempap mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI