fbpx

Pemain kembali boikot latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain KDA FC kembali memboikot sesi latihan selepas aksi menentang Sri Pahang ekoran isu tunggakan gaji yang terus berlanjutan. - FB KDA FC

ALOR SETAR – Selepas aksi menentang Sri Pahang FC 20 September lalu, para pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sehingga ke hari ini masih tidak turun berlatih berikutan isu tunggakan gaji yang sudah mencecah tujuh bulan.

Menurut sumber dalaman pasukan, langkah tersebut terpaksa diambil para pemain setelah tiada kata putus mengenai tarikh pembayaran gaji mereka.

Difahamkan ketika ini barisan kejurulatihan juga tidak lagi turun ke padang untuk ‘menanti’ kehadiran para pemain seperti sebelum ini, setelah masing-masing tahu bahawa tiada pemain yang akan hadir ke padang latihan.

“Sejak dari selepas perlawanan menentang Pahang, kami tak dengar apa-apa langsung mengenai bila gaji akan dibayar.

“Ada juga sampai ke pengetahuan kami mengatakan pemilik pasukan, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sedang berusaha untuk melunaskan gaji pemain. Cuma itu saja yang kami dengar, tetapi sampai bila kami harus menunggu, kami tak tahu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ini bukan kali pertama para pemain KDA FC memboikot sesi latihan setelah mereka turut melakukan perkara sama selama dua minggu, sebelum turun berlatih hanya dalam tempoh empat hari sebagai persiapan menentang Sri Pahang FC.

Mengulas lanjut sumber itu berkata, ketika ini ada dalam kalangan pemain yang sudah ditarik kenderaannya oleh pihak bank selain berdepan tekanan oleh pemilik rumah sewa yang meminta supaya hak mereka dijelaskan.

“Setakat ini tiada pihak yang mendesak para pemain untuk turun berlatih. Mungkin pihak berkaitan juga sedar dan bimbang dibidas semula oleh para pemain yang kini berdepan masalah kewangan.

“Sebelum ini ada juga dengar khabar kononnya isu ini akan selesai tidak lama lagi, tetapi hingga kini, para pemain masih menjadi ‘kambing hitam’ dan ternanti-nanti gaji yang menjadi hak kami,” katanya.

Ditanya sama ada para pemain akan turun beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di laman sendiri pada 19 Oktober depan, sumber itu berkata setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

“Kami tak tahu lagi keadaannya nanti. Memang setakat ini tiada apa-apa perbincangan dalam kalangan pemain kerana masing-masing hanya mahu menanti gaji untuk melunaskan hutang serta menyara hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI