LUMUT – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya merempuh sebatang pokok berhampiran Bangunan Persekutuan Daerah Manjung di Seri Manjung di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.10 pagi dan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Didapati terdapat seorang mangsa pemandu kereta tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak perubatan.
“Tindakan ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zaimi Mohd Noh, mengarahkan
mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas mangsa berjaya dikeluarkan, jasadnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi. – KOSMO! ONLINE.