fbpx

Lebih separuh kapal TLDM lepasi had penggunaan, usia perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kapal dan bot tempur yang menyertai demonstrasi dinamik sempena HUT ATM ke-91 di Kem Segenting, Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Lebih separuh kapal pelbagai kelas perkhidmatan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melebihi had penggunaan optimum serta melepasi usia perkhidmatan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, daripada jumlah itu, 34 buah telah melepasi had umur penggunaan dan 28 buah telah melebihi 40 tahun usia perkhidmatan.

Beliau berkata, penggunaan aset melebihi tempoh had dan usia perkhidmatan itu akan menjejaskan keupayaan termasuk teknologi sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraannya.

“Sebagai makluman, had umur bagi kapal TLDM mengikut kelas adalah 35 tahun bagi kapal selam, 30 tahun bagi kapal ‘frigate’, ‘corvette’, kapal logistik dan kapal ronda generasi baharu serta hidro.

“Bagi kapal kecil seperti kapal ronda, laju, peperangan periuk api, kapal layar dan bot tunda, had umurnya adalah 24 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Segenting di sini hari ini.

Justeru katanya, keperluan mendesak untuk menggantikan kapal yang usang serta tidak berada pada keupayaan sebenar adalah amat bertepatan.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan untuk menggantikan Helikopter Super Lynx yang beroperasi lebih 20 tahun dan dijangka akan beroperasi sehingga 2026.

“Keperluan penggantian helikopter tempur maritim ini adalah kritikal dan kini TLDM sedang menilai beberapa opsyen helikopter tempur maritim yang sesuai bagi menggantikan Super Lynx.

“Ia dilakukan menerusi program perolehan helikopter anti submarine warfare (ASW) yang telah didaftarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI