SHAH ALAM – Lebih 200 pempamer terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan menyertai Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ 2024) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.
Penganjuran edisi ketiga ekspo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) itu membawakan usahawan dari pelbagai industri seperti pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan sekali gus mensasarkan 20,000 pengunjung secara keseluruhannya.
Ekspo ini juga menjadi medan kepada para usahawan untuk mempromosikan jenama produk selain berpeluang meluaskan pasaran peniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Menerusi SELBIZ 2024, pengunjung berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kaunter perkhidmatan bergerak yang disediakan sepanjang ekspo itu berlangsung.
Bukan itu sahaja PKNS turut membuka peluang kepada yang berminat untuk mendapatkan rumah pertama menerusi pameran Rumah Selangorku di kaunter penerangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang disediakan sempena ekspo ini.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung sepanjang penganjuran SELBIZ 2024 antaranya petting zoo, pameran kerjaya, Pesta Rasa, Jualan Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan sukan seperti bola jaring dan Penalty Shoot Out.
Lebih menarik lagi, setiap pengunjung yang hadir boleh mendapatkan mata ganjaran menerusi aplikasi PKNS Loyalty dengan mengimbas kod disediakan di setiap reruai sebelum menembusnya di beberapa gerai terpilih bergantung kepada kuota tersedia.
Sementara itu, bagi salah seorang pempamer, Raja Lokman Raja Ahmad, 46, dirinya berasa teruja menyertai ekspo ini buat kali kedua sekali gus menetapkan sasaran lebih 8,000 pengunjung ke reruainya tahun ini.
“Tahun lepas, kami terima sambutan yang sangat menggalakkan. Menyertai ekspo sebegini beri peluang untuk kita kenalkan jenama kepada orang ramai. Daripada orang tak tahu, mereka jadi tahu.
“Sememangnya menjadi usahawan di bawah PKNS sejak tiga tahun lalu telah membuka banyak peluang kepada saya termasuklah mengeksport produk sendiri ke luar negara seperti Hong Kong, Indonesia, China dan Vietnam,” katanya ketika ditemui.
Bagi seorang lagi pempamer pula, Nashrah Zamril, 37, usaha untuk memperkenalkan produk Keropok Kulit Patin kepada orang ramai menjadi lebih mudah apabila ekspo sebegini dianjurkan buat peniaga kecil-kecilan sepertinya.
Ujarnya, walaupun menjual produk yang sedikit berbeza daripada orang ramai, dirinya positif untuk menjual sebanyak 3,000 pek sepanjang tiga hari penganjuran ekspo ini.
“Saya tahu ekspo ini sejak tahun lepas, masa itu datang sebagai pengunjung. Jadi bila tahun ini dia buka untuk pendaftaran pempamer, saya terus lakukannya dan alhamdulillah terpilih.
“Selalu orang akan cakap mereka tak pernah dengar kulit ikan patin yang dijadikan snek sampaikah mereka rasa sendiri. Sepanjang tiga hari ini, kita juga akan adakan cabutan bertuah dari semasa ke semasa juga dengan menawarkan produk percuma untuk orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung yang menghadiri ekspo esok, bakal berpeluang mengikuti program bual bicara BizTalk Eksport – Grow Beyond Business dan BizGlow yang berkongsi tentang penampilan profesional dan pengurusan imej buat para usahawan. – KOSMO! ONLINE