NEW DELHI – Satu rakaman video memaparkan seorang lelaki tua dikatakan berusia 188 tahun diselamatkan dalam keadaan lemah dari sebuah gua di India menjadi tular di media sosial, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Concerned Citizen berkongsi video mengenainya di platform X.
Rakaman video tersebut merekodkan lebih 30 juta tontonan.
“Lelaki India ini baru ditemui di dalam sebuah gua. Dia dikatakan berumur 188 tahun. Gila!,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Bagaimanapun, umur yang ditulis netizen itu menjadi pertikaian banyak pihak.
Seorang netizen X menyiarkan penafian dengan berkata: ‘Maklumat salah! Lelaki tua ini ialah seorang pengamal kuat agama Hindu.”
“Dia bernama Siyaram Baba dan tinggal di negeri Madhya Pradesh, India.”
“Menurut laporan dia berumur kira-kira 110 tahun,” tambahnya.
Penafian itu memetik artikel akhbar Navbharat Times, 2 Julai tahun ini sebagai salah satu sumbernya. – AGENSI