WASHINGTON – Penampakan makhluk ganjil berbulu dikenali sebagai Bigfoot di kawasan hutan negeri Oklahoma menyebabkan internet menjadi kecoh pada minggu ini, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rakaman video itu menjadi tular di media sosial dan merekodkan lebih tujuh juta tontonan.
Seorang netizen menganggap gambar yang dirakam sebagai bukti terbaik makhluk berbulu itu benar-benar wujud.
Namun, gambar tular itu sebenarnya memaparkan seorang pekerja premis Bigfoot Head Shop yang memakai kostum Bigfoot untuk aksi promosi kedainya.
Klip video berdurasi hampir 10 saat itu menunjukkan makhluk itu bersandar pada pokok di sebuah hutan di Lawton sambil mengunyah daun, manakala terdapat seorang individu mengintip pergerakannya.
Rakaman itu sebenarnya untuk tujuan iklan kedai tersebut.
Lelaki yang memakai kostum Bigfoot, Blake Younger, 37, menolak permintaan media untuk memberikan komen.
Pemilik bersama Bigfoot Head Shop, Tasha Keeble-McKee memberitahu bahawa dia tidak menjangkakan video itu akan menjadi tular di media sosial.
“Iklan ini bagus untuk komuniti kerana ia adalah berita lucu,’” kata Keeble-McKee. – AGENSI