JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab menganjurkan acara yang menggugat kedaulatan agama Islam di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata demikian berhubung isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang yang didakwa mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ketika larian di Kota Tinggi.
“Kerajaan Johor menegaskan bahawa acara tersebut bukanlah anjuran mana-mana agensi kerajaan di negeri Johor. Kita juga tidak pernah memberi kebenaran bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri ini.
“Setelah berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara tersebut bukanlah seperti yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan pihak penganjur. Bagaimanapun, kerajaan negeri memandang serius isu ini dan telah meminta siasatan lanjut dijalankan PDRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum itu tular di media sosial aktiviti sedemikian yang disertai peserta berpakaian songsang dan juga separuh bogel. – KOSMO! ONLINE