TANJUNG MALIM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jasa terhadap negara tidak boleh dijadikan alasan untuk para pemimpin yang memunggah kekayaan secara salah tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berkata, tindakan undang-undang seharusnya diambil terhadap mana-mana pemimpin yang didapati melakukan perbuatan salah berkenaan tidak kira yang terdahulu ataupun masa kini.
“Kepada anak-anak muda saya nak terangkan, bayangkan kita ambil sikap tegas. Sesiapa yang punggah kejayaan berbilion ringgit, tak peduli dulu atau sekarang, tindakan harus diambil.
“Ini masih juga dijadikan alasan politik. Kasihan, dia (pemimpin) berjasa. Semua orang berjasa. Ketua kampung, penghulu dan tok imam berjasa tetapi adakah kerana dia (imam) berjasa itu dia boleh curi duit masjid? Tak boleh.
“Jadi mengapa seorang menteri kewangan kalau dia fikirkan dia ada jasa maka dia boleh curi berbilion ringgit?” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Syarahan Za’ba dan Sambutan Hari Akademia Negara 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar mencabar bekas pemimpin yang mendakwa mereka memperjuangkan bangsa Melayu untuk memulangkan kembali hasil kekayaan diperoleh sepanjang mereka bergelar pemimpin negara.
“Kalau benar pemimpin-pemimpin Melayu yang rompak harta negara, kekayaan berbilion-bilion ringgit, saya tanya dari dulu, betulkah memperjuang (bangsa Melayu)? Betul kamu akan membela nasib Melayu?
“Kemudian saya kata kalau betul berapa harta kamu sekarang? RM1 billion? RM2 bilion? Di mana? Di Malaysia, Amerika Syarikat, England atau Eropah? Berapa bilion? RM5 bilion (harta pemimpin berkenaan).
“Apakah baiknya kalau (kamu) seorang pejuang tulen, serahkan balik wang kamu curi itu kepada rakyat dan negara,” katanya.
Justeru, menurut Anwar, perubahan menerusi tatakelola yang baik diberi keutamaan oleh kerajaan Madani dan ia bermula dari peringkat pemimpin atasan.
“Sebab itu dalam kerajaan Madani kita mula dengan tatakelola. Berapa dana kerajaan untuk bantu orang miskin? Malaysia ini antara belanja paling tinggi di Asia untuk bantu orang miskin tetapi kadang-kadang tak sampai kerana ia bocor, tiris, disalah guna dan dicuri. Ini menyebabkan tak sampai ke bawah.
“Bayangkan kalau RM22 billion setahun dan urus dengan baik, sudah selesai masalah kemiskinan. Kerajaan silih berganti, perdana menteri, menteri kewangan, partinya silih berganti. Jadi masalah itu masih berlaku,” katanya.
Disebabkan itu, tegas Anwar, anjakan dan perubahan perlu dilakukan apabila wujud kesempatan berbuat demikian yang mana ia perlu bermula dari atas.
“Apa hebatnya perdana menteri dan menteri kewangan? Dia hebat kerana boleh guna kedudukan dan kuasa mengayakan diri, isteri dan anak-anak. Lingkup negara. Sebab itu untuk menyelesaikan masalah kemiskinan mesti bermula dengan tatakelola dan tadbir urus dari pimpinannya dulu.
“Pimpinan kerajaan atau pimpinan universiti kepimpinan dan jabatan jangan tolak ansur dari memerangi rasuah serta salah guna kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE.