fbpx

Chery Tiggo 7 Pro jadi pilihan SUV keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chery Tiggo 7 Pro mempunyai rekaan luaran yang menarik dengan elemen ‘airvent’ jalur biru.

PENGARUH jenama Chery di pasaran tempatan terus berkembang dengan kehadiran model-model kereta jenama itu meluncur di jalan raya.

Walaupun baru setahun bertapak di negara ini, Chery Malaysia telah mengeluarkan empat model kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu Omoda E5, Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan terbaharu Tiggo 7 Pro.

Model Chery Tiggo 7 Pro yang diperkenalkan Julai lalu dikatakan bakal menjadi pesaing kepada model SUV sedia ada dalam pasaran tempatan seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Penulis berpeluang memandu uji SUV Segmen C itu selama beberapa hari dan tidak sangka jenama buatan dari China itu memberikan prestasi luar biasa dengan ciri hebat.

Bagi Chery Tiggo 7 Pro, ia dibina di atas platform Chery T1X dan mempunyai ukuran dimensi 4,500 milimeter (mm) panjang dan jarak antara roda 2,670mm.

Jika anda berhasrat mencari SUV keluarga, mungkin ada boleh mempertimbangkan Tiggo 7 Pro yang menawarkan harga mampu milik iaitu RM123,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan sentuhan premium dan teknologi pemanduan terkini.

Empat pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Bloodstone Red (bumbung hitam), Khaki White (bumbung hitam), Carbon Black dan Vanilla Blue.

Dengan konfigurasi lima tempat duduk, kenderaan itu tampil dengan rekaan sporty dan selesa untuk kegunaan harian keluarga serta sangat sesuai untuk perjalanan jauh.

REKA bentuk belakangnya yang tertera Tiggo 7 Pro.

Saiz Tiggo 7 Pro yang sederhana besar dengan ruang yang luas di bahagian pemandu dan penumpangnya memberi keselesaan. Bagi mereka yang berkaki panjang boleh melunjur kaki di kerusi bahagian belakang.

Dari segi suspensi, pengendalian dan pengawalan stereng model ini adalah stabil dan keseimbangan boleh dikatakan memuaskan ketika melalui selekoh.

Penulis sebagai seorang wanita yang tidak begitu mahir mengendalikan kenderaan bersaiz besar berasa lebih yakin memandu di kawasan sempit atau parkir dengan kehadiran kamera panoramik 540 darjah dalam SUV ini.

Ciri menarik lain ialah Tiggo 7 Pro akan menghasilkan lagu dengan lampu ambien mengikut irama setiap kali kunci kereta berada berhampiran.

Menyentuh reka bentuk luarannya, ia menyuntik elemen terkini yang moden dan sporty dengan menampilkan gril besar rekaan ‘diamond cut’ di bahagian hadapan.

Lampu LED di bahagian belakang pula jenis berkelebaran penuh selain ‘airvent’ jalur biru di bahagian depan nampak unik.

Ia diperkemas dengan ‘skirting’ di bahagian sisi berwarna chrome dengan perincian rim aloi dua tona bersaiz 18 inci.

Keselesaan pemanduan dapat dirasakan menerusi ruangan dalaman yang mempesona.

Ciri menarik lain, kenderaan itu tampil dengan fungsi bantuan pemandu yang pasti memberi pengalaman pemanduan yang lebih menarik dan menenangkan dengan tiga mod pilihan normal, eco dan sport.

Dari segi kuasa, Chery Tiggo 7 Pro ini menggunakan enjin 1.6 liter empat silinder turbo (TGDi) digandingkan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan klac berkembar (DCT).

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa 197hp dan tork 290Nm dengan kelajuan maksimum 205 kilometer sejam (km/j)

Ia boleh mencapai kelajuan dari pegun hingga 100km/j dalam masa 8.3 saat dan kelajuan maksimum 205km/j.

Kuasa dan tork yang dihasilkan mampu untuk membuatkan pemandu tersenyum sendirian kerana tiada istilah ‘tidak cukup kuasa’ untuk model ini walaupun mungkin ada yang ‘skeptikal’ dengan jenama ini.

Meninjau ruang kabin, Tiggo 7 Pro nampak mewah dan premium dengan balutan bertekstur kulit dan gentian karbon faux. Gaya mewahnya diserlahkan lagi oleh veneer kayu pada konsol tengah.

Kerusi pemandu menggunakan kerusi semi-bucket dibalut material kulit warna hitam memberikan rasa sporty dan cukup selesa dengan fungsi pelarasan automatik ketika memandu jarak jauh.

Papan pemuka model ini pula yang hadir dengan dual skrin bersaiz 24.6 inci turut dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto sekali gus memberikan pengalaman pemanduan menarik.

Sistem infotainment juga hadir bersama lapan pembesar suara jenama Sony selain fungsi penghawa dingin dua zon, tempat duduk hadapan dengan liang pengudaraan, bumbung panoramik dan ruang simpanan konsol tengah dengan fungsi penyejuk.

Tidak ketinggalan ialah ciri lampu ambien dengan 64 pilihan warna yang diselaraskan mengikut minat dan pilihan masing-masing (custom).

But kereta Tiggo 7 Pro agak besar dengan ruang kargo untuk barangan dapat menampung kapasiti 475 liter.

Namun, jika kerusi penumpang belakang dilipat, ruang itu akan bertambah luas sehingga 1,672 liter.

Untuk ciri keselamatan pula, Chery Tiggo 7 Pro dilengkapi generasi terkini Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5)

Ini termasuk Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Detection (BSD), Emergency Lane Keeping (ELK), Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Selain itu, ia turut dilengkapi ciri Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Prevention (LDP).

Kesimpulannya, Tiggo 7 Pro bukan sahaja menawan dari segi rekaannya yang sporty tetapi sarat dengan teknologi tinggi yang menjadikannya SUV pilihan keluarga.

Penulis menyimpulkan model ini mampu memberikan persaingan dalam segmennya kerana menawarkan rekaan menarik di samping harga yang munasabah.

Model ini mampu memberi saingan hebat dengan teknologi terkini daripada China selain rekaannya setaraf dengan kereta SUV mewah di pasaran negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI