fbpx

1,165 aduan minyak masak dalam lapan bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 1,037 aduan melibatkan bekalan minyak masak peket diterima KPDN sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini.

SHAH ALAM – Aduan berkaitan minyak masak peket terus me­ningkat dengan 1,165 aduan direkodkan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,037 aduan berhubung isu bekalan, manakala 128 lagi berkaitan isu harga.

Katanya, ia berbeza dengan aduan direkodkan pada 2022 iaitu 521 aduan, manakala pada tahun lalu pula sebanyak 954 aduan.

“Aduan kategori bekalan meliputi ketiadaan dan kekurangan di premis tertentu selain peniaga enggan menjual, menyorok dan menjual minyak masak peket tanpa lesen.

“Bagi kategori harga pula, ia melibatkan minyak masak peket yang dijual lebih tinggi daripada ditetapkan iaitu RM2.50 sepeket,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, statistik penguatkuasaan menunjukkan sebanyak 371 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 22 September lalu.

Lima negeri yang menca­tatkan kes tertinggi adalah Kelantan (66 kes), Selangor (47 kes), Perak (42 kes), Sabah (32 kes) dan Johor (29 kes) sepanjang tempoh yang sama

“Berbanding tahun lalu, kita merekodkan sebanyak 288 kes dengan negeri paling tinggi adalah Sabah (76 kes) diikuti Kelantan (69 kes), Sarawak (23 kes), Perak (20 kes) dan Pulau Pinang (20 kes),” jelasnya.

Azman menjelaskan, seramai 135 individu termasuk 17 wanita berusia 25 hingga 73 tahun ditahan sejak 1 Januari 2023 sehingga 22 September lalu atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Sejumlah 990 kertas siasatan berkaitan minyak masak dibuka bermula 2021 hingga tahun ini.

“Seramai 31 individu telah dituduh di mahkamah yang membawa hukuman termasuk penjara dan denda keseluruhan RM541,240 di bawah kesalahan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI