SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan kemunculan buaya baharu di Tasik Seksyen 7 di sini seperti ditularkan di media sosial.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, hasil siasatan telah dibuat di lokasi tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi mendapati ia adalah biawak.
Katanya, siasatan di lokasi melibatkan pemerhatian langsung di kawasan tasik dan temu bual orang awam serta pemancing di tasik tersebut.
“Pemerhatian langsung oleh pegawai Perhilitan juga telah menemui empat ekor biawak di tasik berkenaan.
“Malah hasil temu bual dijalankan mendapati ia adalah biawak dan tiada kelibat buaya yang dilihat di tasik tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil semakan terhadap pada video yang tular tersebut oleh Perhilitan juga mendapati biawak.
Wan Mohd. Adib turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya.
Kosmo! pada 4 September lalu melaporkan melaporkan buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter dan seberat kira-kira 20 kilogram berjaya ditangkap kira-kira pukul 10.20 malam di Tasik Seksyen 7 di sini.
Tangkapan dibuat selepas buaya itu memasuki perangkap yang dipasang umpan segar. – KOSMO! ONLINE