JASIN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu bidang tugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diperluaskan terutama di premis strategik negara kategori kawasan dan tempat larangan, termasuk sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peranan anggota Rela tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tugas menjaga lalu lintas sewaktu kenduri, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab lebih besar.
Katanya, mereka sepatutnya berperanan membantu agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Saya hendak tengok penglibatan anggota Rela lebih agresif terutama penugasan di premis strategik negara kategori kawasan dan tempat larangan, walaupun memang sudah ada penguat kuasa yang lain.
“Jadi saya hendak perluaskan fungsi bidang tugas Rela termasuk membantu tentera dan polis di pintu masuk sempadan, termasuk menyertai pasukan penguat kuasa yang lain menjaga sekatan jalan raya.
“Kalau mahu bidang tugasan diperluaskan, ia tidak boleh dengan kapasiti yang sedia ada sekarang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pentauliahan Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini, semalam.
Seramai 224 pelajar daripada 16 institusi pengajian tinggi (IPT) pelbagai aliran seperti kejuruteraan, perniagaan, pelancongan dan teknologi digital menerima pentauliahan tersebut.
Tambah, Saifuddin Nasution, kemasukan siswa dan siswi daripada 16 IPT merupakan kejayaan besar buat Rela.
“Bayangkan mereka apabila tamat pengajian nanti akan terus kekal menjadi anggota Rela dan mereka kata hendak kekal. Ini adalah nilai tambah yang sangat besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE