fbpx

Solat hajat mohon jasad Sabari ditemui, anak sebak imbau kenangan di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Solat hajat bagi memohon agar jasad Sabari ditemui dilakukan di Masjid Al Mutmainnah di Kampung Mengkuang, Kuala Pegang di Baling, hari ini.

BALING – Lebih 200 jemaah Masjid Al Mutmainnah di Kampung Mengkuang, Kuala Pegang di sini menunaikan solat hajat bagi memohon agar jasad pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, dapat ditemui.

Menurut anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, solat hajat itu dilakukan di masjid yang sering dikunjungi bapanya untuk menunaikan solat berjemaah.

“Kami memohon kepada Allah supaya jasad ayah dijumpai dan dipermudahkan urusan sepanjang perbicaraan (mahkamah) nanti untuk keadilan buat ayah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kariah masjid yang bantu buat solat hajat ini. Imam dan seluruh kariah masjid sebelum ini juga ada melakukan solat hajat dan bacaan Yasin buat ayah,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini hari ini.

Katanya, dia dan dua kakak masih berharap agar jasad bapanya yang disyaki dicampak ke Sungai Padang Terap di Jitra dekat sini pada 4 September lalu ditemui meskipun operasi pencarian telah ditamatkan.

“Kami sentiasa berharap suatu hari nanti akan jumpa dia. Itu harapan saya dan keluarga, harap mungkin ada ada orang jumpa jasad ayah supaya ada pusara untuk dia.

“Buat sementara, saya dan kakak mungkin akan pergi ke sungai itu semula kerana itu kenangan terakhir dia,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, dia tidak dapat menahan kesedihan apabila teringat kenangan dia bersama bapa menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut.

“Saya sebak bila masuk ke masjid ini sebab teringatkan ayah. Saya datang ke masjid ini dengan ayah sejak dari kecil lagi, kami datang bersama-sama dengan menaiki Perodua Kancil ayah.

“Ayah biasanya pilih di saf sebelah kiri, memang itu tempat dia. Orang masjid di sini juga beritahu ayah memang datang menunaikan solat lima waktu berjemaah di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Imam masjid berkenaan, Saidin Husin, 56, berkata, pihaknya akan terus melakukan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kepada Allah agar jasad Sabari ditemui.

“Kita berdoa supaya mudah-mudahan jasad saudara kita, Sabari dapat dipertemukan,” katanya.

Katanya, seluruh kariah turut bersedih dengan kejadian menimpa Sabari yang merupakan ahli masjid tersebut.

“Sabari memang ahli jemaah ini, dia memang orang yang rajin ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Boleh dikatakan setiap waktu dia solat jemaah di masjid. Dia orang yang baik, mudah mesra dan pemurah,” ujarnya.

Tambahnya, bagi solat jenazah ghaib pula, dia perlu mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada pejabat agama dan Mufti Kedah terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI