fbpx

Pembinaan pusat data Google di Elmina bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR (tengah) pada majlis pecah tanah pusat data Google di Elmina Business Park, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad memulakan pembinaan pusat data sulung Google di Elmina Business Park dan Wilayah Awan Google di Malaysia susulan majlis pecah tanah yang merupakan sebahagian daripada acara Mantap Malaysia Bersama AI dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pusat data berskala besar itu akan dibina oleh Sime Darby Property mengikut spesifikasi dan keperluan infrastruktur Google untuk dikendalikan oleh gergasi teknologi berkenaan setelah siap kelak, disasarkan pada awal 2026.

Aturan pajakan unik antara Sime Darby Property dan Google itu merupakan yang pertama dan satu-satunya seumpamanya setakat ini oleh pemaju di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Kumpulan menjangka akan melancarkan lebih banyak projek di bawah model perniagaan serupa dengan pelanggan berkaliber tinggi dalam perniagaan pembuatan dan logistik yang dipacu teknologi, seterusnya mengembangkan sumbangan pendapatan berulang jangka panjangnya.

Pengarah Global Pusat Data Tenaga dan Strategi Lokasi Google, Gary Demasi berkata, pihaknya berbesar hati kerana telah berjaya membina landasan bagi pusat data dan kampus rantau awan pertama syarikat di Malaysia.

“Kami melihat ke hadapan untuk kerjasama lanjut dengan Sime Darby Property sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam memajukan matlamat Malaysia bagi meningkatkan daya saing digital dan menjadi hab serantau untuk inovasi AI (kecerdasan buatan),” katanya dalam satu kenyataan.

Elmina Business Park direka bentuk untuk menyokong ekonomi digital dengan infrastruktur kritikal, termasuk penyelesaian air serta tenaga berskala besar dan dijangka mampu menarik pusat data tambahan, pengeluar berskala besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selepas pembangunan penuh pada 2035, ekosistem perniagaan yang lebih luas di sana diunjurkan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan untuk memenuhi permintaan operasi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Seri Azmir Merican berkata, pihaknya berbangga untuk menubuhkan pusat data skala besar pertama Google di Malaysia.

“Penerokaan kami ke dalam kelas aset ekonomi baharu ini dengan gergasi teknologi terkemuka meletakkan Elmina Business Park sebagai destinasi utama untuk firma teknologi global,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI