IPOH – Seorang pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap rakan setugas wanita, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Rosman Jamaluddin, 52, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki terbabit didakwa menghantar WhatsApp berbaur lucah kepada wanita berusia 38 itu dengan maksud mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunannya.
Tertuduh didakwa melalukan kesalahan itu di sebuah premis di No. 67, Jalan Perajurit Ipoh Garden East di sini pada pukul 10.52 malam pada 20 Mei 2021 dan 12.08 tengah malam 18 Ogos 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Azwar Khalil.
Terdahulu, Nurul Hidayu mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, Khairil Azwar merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan ‘slip disc’ selain menanggung seorang isteri, empat anak yang masih belajar dan ibu.
Selain itu, beliau turut meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang kes tersebut dibicarakan di luar iaitu melalui media sosial sebelum keputusan diputuskan oleh mahkamah.
Majistret S. Punitha kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan. – KOSMO! ONLINE