fbpx

Pakistan berpotensi jadi pintu masuk syarikat Malaysia – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mengakhiri Lawatan Negara selama tiga hari ke Pakistan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Pakistan berpotensi untuk menjadi pintu masuk kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran di Asia Tengah dan Asia Barat.

Anwar berkata, keyakinan itu berdasarkan Lawatan Negara beliau ke Pakistan yang membuka ruang Malaysia dan Pakistan berbincang serta menerokai pelbagai bidang berkaitan kedua-dua negara.

“Ini termasuklah zon ekonomi, isu perdagangan dan pasaran, pengangkutan, industri halal, pelancongan, pendidikan, tenaga mahir dan lain-lain lagi.

*Lawatan Negara ke Pakistan ini sangat bermakna dan dekat di hati saya serta delegasi dengan mengambil kira sejarah persahabatan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 67 tahun lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran berasingan menjelaskan, kunjungan beliau ke negara Asia Selatan itu sebagai ‘amat bermakna’ secara peribadi kepadanya.

Ujar beliau, pertemuan dengan rakan sejawat Shehbaz Sharif dan Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari serta tokoh industri membuahkan hasil merangkumi pelbagai isu dua hala demi kepentingan bersama.

Kata beliau, ia membuktikan kesungguhan kepimpinan tertinggi untuk meningkatkan hubungan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sementelahan terdapat potensi besar dalam hubungan perdagangan yang boleh dipelopori.

“Pastinya, akan ada peningkatan kerjasama dalam semua bidang perdagangan dan teknologi pertanian termasuk berkaitan daging, beras dan import minyak kelapa sawit oleh Pakistan.

“Malah kedua-dua negara akan turut memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI