fbpx

‘Nak jadi P. Ramlee, tahu tak mati nanti pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALALUDDIN pernah dimarahi oleh keluarga kerana memilih untuk menjadi pelakon.

PETALING JAYA – Pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan pernah dituduhkan mencemarkan nama baik keluarga kerana melakukan babak bersentuhan dengan wanita sewaktu awal pembabitan dalam industri.

Kongsi Jalaluddin, 70, insiden yang berlaku sekitar tahun 1990-an itu menyebabkan dia berasa takut untuk berdepan dengan bapanya iaitu Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari bagi mendapatkan kebenaran menjadi pelakon.

“Apabila babak bersentuhan dengan wanita itu ditayangkan, adik-beradik arwah ayah menghubungi dia dan mengatakan saya ini telah memalukan nama baik keluarga dan keturunan Azhari.

“Mereka kata apa hendak jadi dengan saya, suruh belajar tidak mahu. Hendak jadi P. Ramlee, tahu tidak nanti hendak mati pun susah,” katanya,

Pelakon drama rantaian Nur itu menceritakan pengalaman ketika awal pembabitannya sebagai anak seni dalam audio siar Dol’s Podcast.

Biarpun mendapat tentangan daripada pihak keluarga, Jalaluddin bagaimanapun berusaha mencari jalan bagi memujuk bapanya agar merestui keinginan untuk menjadi pelakon.

“Waktu itu saya fikir bagaimana hendak buktikan bahawa saya ingin jadi pelakon. Jadi, saya selalunya akan picit ayah saya.

“Walaupun pada waktu itu umur saya sudah pertengahan 30-an, saya pergi bertemu dengan arwah ayah dan tetap memicit badannya selama tiga jam bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

“Kemudian saya maklumkan kepada ayah yang ingn pergi ke set penggambaran pada pukul 1 pagi. Waktu itu ayah bertanyakan kepada saya sama ada benar-benar ingin jadi pelakon atau tidak? Saya katakan ya dan dia menasihati agar tidak tinggal solat biarpun sibuk menjalani penggambaran,” katanya.

Tambah Jalaluddin, kenangan dan kata-kata arwah bapanya itu masih diingati sehingga ke hari ini sekali gus menjadi pegangan buatnya bergelar anak seni.

“Saya ingat kata-kata itu sampai sekarang. Katanya kasihan dengan saya kerana orang lain tidur, tetapi saya perlu bekerja.

“Dia juga kata jangan pernah lupa solat kerana kasihan kerja penat-penat, tetapi tidak mendapat berkat,” katanya.

Jalaluddin memulakan kerjaya lakonan sekitar tahun 1990-an dan sudah membintangi lebih 100 buah naskhah filem, drama dan telefilem. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI